PENERJUN elit negara Nur Dhabitah Sabri berterima kasih kepada semua pihak yang melakukan yang terbaik dan membantu dirinya beraksi dengan baik dalam pertandingan di Sukan Asia Hangzhou.
Menurut Nur Dhabitah, ia merupakan satu perjalanan rollercoaster untuk semua yang terlibat dan akui teruja kerana mereka mengakhirinya bersama-sama sebagai satu.
“Setiap kesusahan dan perjuangan yang kami hadapi bersama sebagai satu pasukan sejak kem latihan China. Saya amat berbangga dengan pasukan itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ISN, MSN dan MOM kerana membantu kami sepanjang perjalanan Sukan Asia kami.
“Terutama kepada ‘kakak-kakak ISN’ yang mengikuti kami ke kem latihan China selama sebulan lebih,” katanya di laman Instagram pada Khamis.
Sering menguntum senyuman ketika beraksi, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berjaya memenangi perak acara 3m papan anjal seirama bersama Wendy Ng dan meraih gangsa bersama Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama.
“Saya pasti bukan mudah untuk mereka meninggalkan orang tersayang untuk kami mempunyai persiapan yang lebih baik untuk Sukan Asia.
“Terima kasih kepada suami, keluarga, kawan-kawan dan semua rakyat Malaysia yang menyokong kami. Terima kasih kerana mempercayai kami. Kami sangat menghargainya!,” katanya.
Dia hampir menambah koleksi pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022 namun sekadar menamatkan saingan di tempat keempat acara 1 meter (m) papan anjal wanita di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, Isnin lepas.