TIADA sasaran pingat emas ditetapkan kepada kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou, dalam usaha memastikan barisan atlet tidak dibelenggu tekanan.

Pengumuman mengenainya dibuat Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt, dalam satu sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia dan Sukan Para Asia 2022, Hangzhou, di Majlis Sukan Negara (MSN).

“Bengkel penetapan pingat telah diadakan pada 22 Ogos 2023 melibatkan CDM, pengurus pasukan, wakil MOM, PSK, MSN dan ISN bagi membincangkan komitment sasaran setiap persatuan sukan kebangsaan yang akan menyertai Hangzhou nanti.

“Jumlah pingat yang disasarkan untuk penyertaan kontinjen negara di Hangzhou ialah sebanyak 27 pingat keseluruhannya.

“Keputusan mengumumkan sasaran pingat keseluruhan ini diambil kira pandangan semua pihak termasuk wakil dari Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) yang berkongsi kepakaran bersama pihak MSN, berasakan sasaran pingat emas sahaja akan berikan tekanan berlebihan keopda atlet negara dan boleh jejaskan atlet untuk menunjukkan persembahan terbaik,” kata Kim Fatt.

CDM ke Sukan Asia Hangzhou, Chong Kim Fatt umumkan sasaran kontinjen negara, 27 pingat keseluruhan.

Menurutnya, seluruh wakil persatuan sukan telah membentangkan maklumat terperinci sasaran pingat atlet masing-masing dan berdasarkan prestasi semasa, pencapaian terbaik serta maklumat mengenai pencapaian atlet negara lain, yang bersaing dengan atlet negara.

Tambah Kim Fatt, pertimbangan praktikal turut mengambil kira kehilangan 12 pingat (2 emas, 6 perak, 4 gangsa) dari Sukan Asia sebelum ini, iaitu menerusi acara tenpin bowling dan pencak silat.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin mempertahankan keputusan untuk tidak mendedahkan sasaran pingat emas dan hanya mengumumkan sasaran keseluruhan pingat.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin tegaskan sasaran keseluruhan hanya akan memberikan tekanan kepada atlet.

“Keputusan untuk tidak mengumumkan pingat emas ini sebenarnya dilakukan beberapa negara. Kita tengok sebelum Olimpik Tokyo, Australia yang juga satu kuasa besar tidak mengumumkan sasaran emas, Jepun sendiri tidak mengumumkan sasaran emas.

“Sebenarnya beberapa negara di rantau Asia dan Asia Tenggara juga tidak mengumumkan sasaran pingat emas. Kalau kita lihat hanya Vietnam sahaja mengumumkan sasaran lima pingat emas manakala Indonesia, Singapura, Thailand dan Filiina juga tidak mengumumkan sasaran pingat emas mereka.

Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyerahkan Jalur Gemilang kepada CDM ke Sukan Asia, Chong Kim Fatt.

“Kita kena lihat bahawa sasaran yang berlebihan diletakkan mungkin akan memberi tekanan berlebihan kepada atlet kita. Semua atlet yang terpilih memang kita rasa mampu untuk capai sasaran.

“Mereka telah berusaha sepanjang empat tahun selepas Sukan Asia di Jakarta, untuk persiapan Sukan Asia di Hangzhou, jadi kita kena beri kepercayaan,” kata Jefri.

Majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke Sukan Asia dan Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou itu disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.