BERBAKI 13 hari sahaja lagi sebelum ke Sukan Asia Hangzhou, ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun diulit rasa resah memikirkan tiga pemainnya yang mengalami kecederaan.
Perejam, Azlan Alias dan Afifuddin Razali serta tekong, Haziq Hairul Nizam mengalami kecederaan ketika menjalani kem latihan pusat selama dua minggu di Ratchaburi, Thailand itu, sesuatu yang tidak pernah diundang ketika skuad sepak takraw negara memburu kemasyhuran di Hangzhou, China, 23 September hingga 8 Oktober.
Azlan dilaporkan mengalami kecederaan hamstring, Afifuddin mengadu mengalami masalah ketegangan di bahagian tengkuk manakala Haziq ditimpa kecederaan di bahagian betis kanan.
Kecederaan Azlan menjadi dugaan terbesar buat Jais memandangkan pemain itu adalah tonggak penting skuad negara selain dia turut membantu Malaysia memenangi pingat emas acara regu di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
“Kalau diikutkan kecederaan tidak serius, tetapi dalam masa terdekat ini mereka akan dihantar mendapatkan rawatan susulan di Institusi Sukan Negara (ISN).
“Kalau bagi saya, mungkin saya mengharapkan kecederaan ini tidak serius. Saya juga ada bertanyakan kepada para pemain, dan mereka mengatakan mereka semakin pulih tetapi kami masih perlukan pengesahan daripada ISN.
“Sekiranya perlu membuat pertukaran, saya akan berbincang dengan pihak MSN (Majlis Sukan Negara) dan PSM (Persatuan Sepak Takraw Malaysia) bagi mendapatkan penyelesaian terbaik bagi masalah ini,” katanya.
PSM dijangka akan mengumumkan senarai akhir 12 pemain yang akan menggalas cabaran negara di Hangzhou, pada Isnin (esok) dengan badan induk itu meletakkan sasaran satu emas dan satu perak.