PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) kekal dengan sasaran satu pingat emas dan 1 perak di Sukan Asia Hangzhou, yang akan bermula 11 hari sahaja lagi.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, tidak ada sebab mengapa perlu menurunkan sasaran pingat emas itu, selepas regu negara memenanginya di Temasya Jakarta-Palembang 2018.

Dalam satu sidang media di pejabat PSM malam tadi (Isnin), Sumali mengumumkan sasaran terbabit sekali gus tidak selari dengan pendekatan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengumumkan sasaran am 27 pingat keseluruhan tanpa menetapkan warna.

“Saya sudah beritahu atlet dan mereka sedar akan hal itu. Mengapa sasar satu emas di Hangzhou? Mungkin ramai (MSN) yang tidak yakin.

“Kita memenangi pingat emas di Palembang dalam acara regu, takkan hari ini kita nak sasarkan pingat perak? Nanti semua orang akan persoalkan mengapa?

“Tidak kiralah walau kali ini Thailand mengambil bahagian dalam acara regu sekalipun, kita perlu kekalkan sasaran untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi,” kata Sumali.

Regu negara pernah mengalahkan Thailand di Sukan Sea Vietnam. -Photo BERNAMA

Menurutnya, isu atlet akan tertekan atau tidak, tiaida kaitan dengan sasaran.

“Atlet tertekan bukan kerana sasaran, masuk gelanggang bertemu Thailand sahja sudah tertekan dan ini lumrah sejak dahulu lagi, masalah tekanan tak timbul, baik di Sukan Asia ke, Sukan Sea ke.

“Kadang-kadang bukan jumpa Thailand, jumpa Indonesia juga tertekan kerana pemain kita rasa boleh memenangi perlawanan dan ianya bukanlah satu tekanan tinggi jika pemain boleh mempamerkan prestasi yang baik.”

Menurutnya, regu pertama negara pernah mengalahkan Thailand di Sukan Sea Vietnam dan senario itu membuktikan ada peluang dan ruang untuk pemain negara menang, kalau pemain betul-betul agresif dan mempamerkan semangat juang tinggi pada hari pertandingan.

“Cabaran kita hanyalah Thailand, tak cantik dan tak elok kalau saya sasarkan perak.

“Kita memiliki sejarah mengalahkan Thailand dan itu membuktikan kita masih boleh melakukannya, mungkin cuma masa belum sesuai, prestasi semasa belum sampai.

“Jika kita memutuskan untuk meraih pingat perak semata-mata Thailand mengambil bahagiam, awal-awal lagi kita sudah kalah dari segi moral, kenapa mahu takut dan ktia perlu pertahankan pingat emas dengan sedaya upaya,” kata Sumali lagi.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan sebagai penyandang juara, kita perlu mempertahan pingat emas dimenangi regu pada Temasya Jakarta-Palembang.

Katanya, sasaran yang dinyatakan itu bukanlah omong kosong dan ia bersandarkan kepada keuyakinan, semangat juang pemain dan pengalaman yang ada ketika menewaskan Thailand.

Dalam hal berkaitan, Sumali turut mengumumkan tiga pemain mengalami kecederaan ketika menjalani latihan pusat di Ratchaburi Thailand, tersenarai dalam skuad akhir 12 pemain yang akan menggalas cabaran di Sukan Asia Hangzhou, yang akan bermula 11 hari lagi.

Pengumuman mengekalkan dua apit kanan, Azlan Alias dan Afifuddin Razali serta tekong, Haziq Hairul Nizam, dibuat Sumali selepas diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM yang berlangsung di pejabat badan induk sukan itu, di ibu negara.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan menganggap tekanan bukan pada sasaran kerana setiap kali turun ke gelanggang, pemain berasakan tekanan itu.

Empat tekong dipilih diketuai Muhammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Hairul Hazizi Hadzir dan Haziq.

Empat apit kanan pula, Azlan, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, Afifuddin dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin, manakala empat apit kiri, Amiurl Zazwan Amir, Farhan Adam, Aidil Aiman Azwawi serta Muhammad Zaim Razali.

“Senarai akhir pemain ini atas cadangan daripada ketua jurulatih (Ahmad Jasi Baharun) dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman, malah ktia sudah menghantar senarai ini kepada Majlis Olimpik Malaytsia (MOM).

“Tiga pemain yang cedera disenaraikan selepas mendapat lampu hijau daripada Institut Sukan Negara (ISN), bermakna mereka sudah pulih dan fit untuk ke Sukan Asia.”