PERSATUAN Boling Padang Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini telah siap menganjurkan tujuh kejohanan buat musim 2023 dan akan meneruskan legasi sukan tersebut pada tahun ini.
Sukan boling padang ini walaupun masih dianggap belum matang atau belum mendapat perhatian masyarakat, tetapi dalam diamnya mereka sudah melahirkan atlet-atlet yang berjaya membawa nama Malaysia di persada antarabangsa.
Namun demikian, Setiausaha Kehormat Persatuan Boling Padang KL selaku Pengarah Kejohanan, Mohamed Iqbal Yusoff Sa mendedahkan jumlah dana secara minima yang diperlukan untuk membelanja setiap kejohanan demi membantu atlet-atlet dalam Malaysia ini adalah sebanyak RM 50,000.
Ia berikutan program yang dianjurkan oleh Persatuan Boling Padang KL menerima sambutan dari pihak luar seperti Hong Kong dan Singapura, malah dana yang diterima pada kejohanan-kejohanan lalu agak sedikit untuk meraikan penyertaan dari para atlet atau orang luar.
“Sememangnya tujuh perlawanan sebelum ini dibantu oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara sendiri, tetapi dukacitanya ia tidak mencukupi untuk tanggung kos perbelanjaan.
“Jadi kalau boleh kami minta pihak KBS dan yang berkaitan untuk memberi peruntukan lebih kepada sukan boling padang ini kerana atlet dari sini juga telah menyumbang kepada pingat emas buat negara.
“Kami di sini menyediakan perkhidmatan dan kemudahan lengkap buat para peserta seperti kegunaan asrama, tempat latihan ‘indoor’ dan makanan semua terjamin.
“Tambah pula kami kerap anjurkan kejohanan untuk bantu mengasah lagi bakat pemain dan mereka juga dapat memperbaiki cara permainan mereka,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Iqbal turut menyatakan bahawa pihaknya juga pernah mengalami kerugian ketika mengadakan kejohanan tetapi mereka cuba mencari inisiatif lain untuk mengukuhkan lagi kejohanan yang telah dibina.