KOMENTAR
SABAN tanggal 31 Ogos, masyarakat di seluruh negara menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia masing-masing dengan penghayatan tersendiri.
Kemeriahan Hari Kemerdekaan kita semua dapat saksikan kesyukuran betapa hebatnya menjadi seorang rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan negara dengan penuh keharmonian.
Malaysia – sentiasa berada dalam kelas tersendiri dan itulah sebab nada patriotik menjadi semakin bermakna setiap kali kita mengibarkan Jalur Gemilang pada hari yang bermakna ini.
Tatkala Malaysia sedang dibina dalam arus permodenan dalam setiap konteks, penulis melihat masih ada beberapa karakter yang dilihat memiliki sifat bertentangan budaya negara menular dalam kalangan masyarakat kita.
Fitnah, inilah penulis mahu tekankan di mana penulis melihat saluran kebebasan bersuara seakan-akan sudah disalahguna atau disalah tafsir oleh mana-mana pihak.
Sama ada mereka menyedari atau sebaliknya, inilah elemen yang menjadi perosak keharmonian negara yang sudah dibina berpuluh-puluh tahun sebati dengan kehidupan majmuk Malaysia.
Penulis berasa amat sedih apabila sentimen berunsurkan fitnah dimainkan sehingga ia mampu menyongsangkan hubungan baik sesama kaum, perpecahan perpaduan dan paling dikhuatiri, golongan ekstremisme seakan-akan cendawan tumbuh selepas hujan.
Cukup-cukuplah domba fitnah yang semakin berleluasa menerusi pihak tertentu di mana akan menghancurkan kemakmuran negara selama ini.
Sedar atau tidak, fitnah-fitnah yang terlalu banyak di media sosial sekarang sedang merosak negara.
Ada benarnya kata Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek, negara sekarang berdepan kebanjiran idola tetapi kemarau tauladan jika beberapa tokoh tidak mampu menjadi entiti mithali kepada masyarakat khususnya golongan muda disebabkan unsur fitnah ini.
Tiru atau ambil semangat sukan yang sentiasa jadi sebuah platform terbaik dengan merentasi berbilang kaum, agama dan budaya dapat disatukan dengan penuh harmoni.
Lebih tepat, sukan juga dapat membantu golongan pesimis terus lebih dekat dengan masyarakat melalui teladan serta moral kompas yang lebih baik serta berkualiti.
Penulis fikir sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan lebih banyak program-program sukan dalam mendidik masyarakat menjadi lebih aman dan harmoni.
Lihatlah sendiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah santun turun berjumpa dengan semua rakyat di Putrajaya selepas acara melihatkan inilah semangat Malaysia yang sebenar, bukannya budaya fitnah yang bagaikan tiada kesudahan.
Kata orang, di mana bumi dipijak disitulah langit dijunjung.
Akhir kata daripada penulis, penulis sentiasa berbangga menjadi anak Malaysia dan bakti penulis kepada negara tidak terbelah bahagi seandainya jihad adalah jalan untuk memerangi fitnah tidak bermoral yang merosakkan negara.
Merahmu bara semangat wajah
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua
Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Ke-66, Malaysia!