HANYA ungkapan syukur Alhamdulillah diterbitkan oleh jurulatih angkat berat negara, Yon Haryono melihat pencapaian anak buahnya membutirkan dua pingat emas di Sukan Komanwel 2022.

Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di Pusat Pameran Nasional (NEC) apabila menang dalam kategori 55 kilogram (kg) dan 61kg lelaki.

“Kerja keras mereka selama ini terbalas. Latihan yang tidak henti-henti walaupun pada ketika itu kita berdepan Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya hanya mampu membuat panggilan video kepada atlet dari Lampung, Indonesia. Memang sukar namun saya berterima kasih kepada semua pihak dan semua ini diizinkan Allah untuk meraih kemenangan,” katanya kepada FLASH SUKAN ketika dihubungi di Birmingham pada Ahad.

Aznil rakam rekod baru kejohanan.

Yon menjelaskan, saingan ketat dihadirkan para pesaing khusus dari Papua New Guinea dan India tetapi mereka kekal tenang dan positif atas gelanggang.

“Saya masih terharu dan sebak kejayaan mereka kali ini dan Aznil juga mencatat rekod baharu temasya,” ujarnya yang berusia 53 tahun itu dan pernah beraksi di Sukan Olimpik musim panas 1988.

Selain Aznil dan Aniq, cabaran bagi sukan angkat berat negara pada temasya Sukan Komanwel kali ini turut dipikul Muhammad Erry Hidayat bagi kategori 73kg, Mohamad Nasir Roslan (81kg) dan Muhammad Hafiz Shamsuddin (109kg).