EMAS ketiga kontinjen negara di Sukan Komanwel 2022 berjaya diraih menerusi acara berpasukan campuran di NEC, Birmingham awal pagi Rabu.

Semangat pemain negara meluap-luap yang dahagakan kejayaan bermula dengan mata pertama yang disumbang Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengatasi Satwik Sairaj Rankireddy-Chirag Chandrashekhar Shetty 21-18, 21-15.

Namun, India menyamakan kedudukan menerusi perseorangan wanita, Pusarla Venkata Sindhu yang mengalahkan Goh Jin Wei 22-20 dan 21-17.

Malaysia kembali di depan apabila pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong mencatat kemenangan tiga set ke atas Kidambi Srikath Nammalwar 21-19, 6-21, 21-16.

Mata keempat sekaligus pingat emas milik kem negara selepas beregu wanita, M Thinaah-Pearly Tan menewaskan Jolly Treesa-Ponnappa Machimanda, 21-18, 21-17.

Peringkat saingan individu akan bermula esok dan pasukan badminton kita ditagih boleh menambah koleksi pingat lagi termasuk emas.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam ciapan Twitter mengucapkan syabas kepada pasukan badminton negara kerana berjaya menyumbang kepada Malaysia memenangi pingat emas ketiga di Sukan Komanwel.

“Semoga kontinjen Malaysia lebih berjaya di #Birmingham2022 ,” katanya.

Terdahulu, atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin menghadiahkan emas menerusi kategori 55 kilogram (kg) dan 61kg.

Kini, hanya tinggal tiga emas untuk diburu bagi melengkapkan sasaran yang ditetapkan buat kontinjen negara pada temasya kali ini.