PELUMBA trek berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sering menerima pesanan ringkas berbentuk nasihat daripada jaguh keirin, Datuk Azizulhasni Awang menjelang aksi di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Shah berkata dia turut merasa kehilangan kerana ini adalah kali pertama dia akan berlumba di peringkat antarabangsa tanpa kehadiran jaguh trek negara ini namun ianya bukanlah pematah semangat tetapi lebih kepada motivasi untuk berjaya.

Para pelumba kebangsaan akan berlatih di Lee Valley VeloPark di London secara berselang hari untuk menyesuaikan diri dengan trek disana sebelum memulakan perlumbaan bermula 29 Julai ini.

Shah juga sudah belajar dari kesilapan lama dengan akan memastikan dia tidak terlalu tertekan pada hari perlumbaan dan hanya fokus untuk memberikan persembahan yang baik untuk negara.

“Azizulhasni Awang selalu berbalas pesanan ringkas untuk memberikan semangat agar saya menikmati perlumbaan. Kehilangan dia memberikan sedikit kesan tetapi saya menganggapnya sebagai pembakar semangat.

“Sudah pasti ada tekanan tetapi saya menganggapnya sebagai tanggungjawab dan juga penaik semangat untuk saya. Pengalaman banyak mengajar saya supaya jangan terlalu tertekan dan hanya menikmati perlumbaan saya.

“Semua persiapan sudah dibuat dan di sana kami hanya ingin menyesuaikan diri dengan keadaan trek kerana ianya berbeza dengan laluan lurus yang lebih panjang. Saya juga sudah bersedia dari segi mental selepas pulih dari kecederaan.

“Saya banyak fokus kepada kelajuan kerana kerana sudah banyak membuat latihan kekuatan. Saya sudah berbincang dengan jurulatih dan kini saya sudah bersedia 90 peratus dan akan mencapai 100 peratus  pada hari perlumbaan nanti,” katanya.

Shah Firdaus akan mengambil bahagian dalam empat acara iaitu acara pecut individu, acara pecut berpasukan, keirin individu dan juga ujian masa individu dan pastinya dia mahu membawa pulang pingat buat negara.

Sukan Komanwel 2022 di Birmingham England bakal berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos dengan Malaysia diwakili 104 atlet dari 14 jenis sukan termasuk empat sukan para.