MENTERI Belia dan Sukan,  Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan enam pingat emas menjadi sasaran Kontinjen Malaysia di Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

Beliau berkata, berlaku sedikit perubahan dari tujuh pingat emas yang diletakkan sebagai sasaran sebelum ini ditukar kepada enam pingat emas.

“Sasaran enam pingat emas menerusi akuatik terjun, angkat berat, badminton, gimrama, lawn bowl dan powerlifting 1,” jelas Faizal Azumu kepada media.

Sementara itu, Chef de Mission Sukan Komanwel 2022 Birmingham, Datuk Shahrul Zaman Yahya sentiasa mengingatkan ketua pasukan untuk menjaga atlet supaya mengurangkan risiko kecederaan.

Tambahnya, ia adalah bonus sekiranya kontinjen kebangsaan mampu meraih tiga lagi pingat emas menerusi acara angkat berat, akuatik terjun dan badminton.

Dalam pada itu penarikan diri Lee Zii Jia serta kemalangan yang menimpa atlet skuasy, S. Sivasangari jelas menyebabkan sasaran pingat emas terpaksa dikaji semula.

“Kita melihat kontinjen kita berada dalam keadaan baik cuma yang saya pesankan kepada semua ketua pasukan menjaga dari aspek kecederaan.

“Kita juga perlu berpijak pada bumi yang nyata dengan ketiadaan Lee Zii Jia dan Sivasangari, kita harus realistik, kita sasar enam tetapi kita akan sentiasa berusaha lebih lagi, dan itu adalah bonus kepada pasukan negara,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Hotel Grand Hyatt.

Kontinjen Malaysia yang diketuai Shahrul Zaman dan Timbalan Chef de Mission, Monteiro Gerard Claire akan diwakili 105 atlet  dengan menyertai 14 jenis sukan termasuk empat sukan para.