PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menyasarkan untuk membawa pulang pingat buat negara pada penyertaan sulung di pentas Sukan Komanwel pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Tze Yong dipilih sebagai pengganti kepada pemain profesional negara Lee Zii Jia selepas pemain itu membuatkan kejutan menarik diri daripada menyertai temasya berkenaan.
“Tidak kira warna pingat,” katanya ringkas kepada pemberita selepas sesi latihan.
Walaupun sasaran pingat tidak lagi diletakkan pada perseorangan lelaki namun pemain di ranking ke-48 dunia mengakui dia tetap memikul tanggungjawab besar untuk menggantikan Zii Jia di temasya itu.
Zii Jia yang kini menduduki ranking kelima dunia memutuskan untuk tidak membuat penampilan ke Sukan Komanwel disebabkan jadual padat diharungi sejak kebelakangan ini, di samping mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, bermula 22 hingga 28 Ogos ini.
Tugas berat menanti Tze Yong apabila dijangka berdepan dua pemain hebat dari India Lakshya Sen dan Kidambi Srikanth serta juara dunia dari Singapura Loh Kean Yew.
Kontinjen negara menyasarkan tujuh emas di Birmingham 2022 dengan dua emas disasarkan menerusi acara badminton selain masing-masing satu daripada gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting. – Bernama