KERAJAAN Scotland akan menyokong Glasgow sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 yang berskala lebih kecil.
“Saya gembira dapat menulis kepada Sukan Komanwel Scotland (CGS) hari ini untuk memaklumkan bahawa kerajaan Scotland akan memberikan sokongan terhadap cadangan ini,” kata Setiausaha Kesihatan Scotland, Neil Gray.
Masa depan temasya itu sebelum ini menjadi tanda tanya selepas negeri Victoria di Australia menarik diri selaku tuan rumah bagi edisi 2026 ekoran peningkatan kos penganjuran yang tinggi.
Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Chris Jenkins, menyambut baik pengumuman daripada kerajaan Scotland itu.
“Kami telah bekerja dengan Sukan Komanwel Scotland dan Kerajaan Scotland selama beberapa bulan dan sangat gembira mendengar CGS telah menerima pengesahan sokongan daripada kerajaan untuk membolehkan mereka meneruskan cadangan menjadi tuan rumah pada 2026.
“Di tengah-tengah perbincangan kami adalah pelaburan sebanyak£100 juta pound (RM562.39 juta) daripada CGF dan komitmen bahawa Glasgow 2026 tidak akan memerlukan sokongan kewangan daripada kerajaan Scotland atau Kerajaan UK,” katanya dalam satu kenyataan.
Tawaran pembiayaan daripada Australia untuk sebahagian kos juga diterima dengan baik.