PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi jangkaan bahawa mungkin terdapat 10 lagi atlet yang akan berjaya menempah slot ke temasya Olimpik Paris pada Ogos depan.

Ketika ini, seramai 18 atlet dari tujuh sukan yang mewakili 12 individu dan tiga dalam acara beregu badminton sudah mengesahkan penyertaan ke Olimpik, namun jumlah sebenar atlet masih belum diputuskan kerana terdapat sesi kelayakan yang masih berlangsung.

Sementara itu, penyertaan atlet dari sukan badminton akan diumumkan sendiri menerusi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang bakal mengeluarkan senarai rasmi pemain yang layak ke Paris pada 1 Mei ini.

Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus antara atlet berbasikal trek yang layak ke Olimpik 2024.

“MOM menjangkakan lebih ramai atlet akan layak menjelang tarikh akhir pada penghujung bulan Jun ini.

“Antara yang kita jangka mampu memberi cabaran di pentas Olimpik adalah dari sukan memanah individu dan berpasukan yang mana mereka akan bertanding di Antalya, Turkiye dari 18 hingga 23 Jun ini.

“Kuota yang belum digunakan untuk acara terjun juga boleh digunakan selain tiket wildcard dalam acara renang dan olahraga.

“Jadi saya menjangkakan kontinjen negara ke Olimpik Paris kali ini mungkin boleh mencapai angka seramai 28 atlet,” katanya dalam sidang media selepas tamat Mesyuarat Eksekutif MOM pada Isnin.

Mohamad Norza yakin bahawa Malaysia dapat membawa seramai 28 atlet ke Paris pada Ogos nanti.

Antara atlet yang sudah mengesahkan tempat ke Paris seperti yang diperkatakan tadi adalah, penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises, Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), tiga pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, seorang pelumba lebuhraya wanita, Nur Aisyah Zubir selain dua pelayar negara, Nur Shazrin Latif dan Khairulnizam Afendy.

Selain itu, pemain yang terdiri daripada sukan badminton adalah Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).