PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin yang menekankan atlet para yang kini sedang beraksi dalam Sukan Para Asean 2023 di Kemboja berada di tahap momentum yang sangat baik.
Beliau yang juga berada di Kemboja berkata demikian susulan 24 pingat emas telah berjaya di raih oleh atlet yang bertanding setakat ini sekali gus semakin hampir pada sasaran iaitu 34 emas.
“Ini merupakan momentum yang sangat cepat dan atlet beraksi dengan baik. Ada atlet yang kita sasar untuk perak namun mereka buktikan dengan pencapaian yang lebih tinggi dan hadiahkan emas untuk negara.
“Perasaan saya sebagai Presiden bukan nak cakap lega tetapi gembira dan terharu kerana ini momentum serta sikap yang kita mahukan,” kata Megat ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Mengulas lanjut mengenai semangat atlet para yang kini masuk hari ketiga Sukan Para Asean, beliau mengakui semangat positif yang ditunjukkan oleh mereka dan dilihat dalam keadaan sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal.
Dalam masa yang sama, tahap kesihatan atlet-atlet para juga dikatakan masih dalam keadaan baik namun masih ada yang mengalami kecedaraan ringan seperti luka-luka dan letih berikutan acara sukan back to back.
“Saya terkejut walaupun cuaca panas tetapi mental atlet masih kuat dan tak kira cuaca macamana pun mereka tetap bersemangat untuk habiskan permainan kerana ini adalah peluang untuk tunjukkan mereka mampu lakukan yang terbaik,” ujarnya.
Jelas Megat, terdapat ramai atlet yang melakukan kejutan dalam banyak acara sukan kerana mentaliti mereka berada di tahap tertinggi dan beliau mengharapkan perkara itu kekal sehingga temasya sukan berakhir.
“Untuk bonus dan ganjaran mungkin kita akan maklumkan apabila selesai temasya ini. Apa yang lagi penting, kita masih dalam proses untuk capai sasaran dan mengharumkan nama negara.
“Saya pasti dan percaya dalam apa keadaan apabila capai target, habuan itu akan ada. Semua yang berjaya pasti ada imbuhannya,” tambahnya lagi.
Setakat hari ini, atlet-atlet para berjaya mengutip 24 pingat emas, 13 pingat perak dan 17 pingat gangsa dalam Sukan Para Asean 2023.