MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menerusi Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharudin gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf kejayaan atlet para negara yang beraksi cemerlang di Sukan Para Asean Kemboja 2023.

Atlet-atlet para negara mempamerkan aksi luar biasa apabila berjaya mencapai sasaran 33 pingat emas yang diletakkan dan ianya mendapat perhatian Perdana Menteri yang mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua atlet dan pegawai yang terlibat.

“Syukur Alhamdulillah dan gembira dengan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri kepada MPM dan 26 persatuan yang bernaung di bawah MPM atas kejayaan kontinjen para negara yang berjaya melepasi sasaran pingat emas.

“Saya gembira kerana Perdana Menteri mengiktiraf kejayaan kami di Kemboja ini dan tahu bahawa atlet para telah menaikkan nama negara dan mengembalikan maruah negara. Pengiktirafan ini juga sudah tentu memberikan semangat buat kesemua atlet untuk berikan aksi terbaik pada kejohanan-kejohanan yang bakal disertai selepas ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Sasaran 33 pingat emas itu dapat dicapai pada hari keempat kejohanan menerusi atlet para ping pong beregu negara, Chee Chao Ming dan Brady Chin sekaligus membuktikan kemampuan luar biasa atlet para negara.

Dalam perkembangan yang sama, Megat juga mahu penglibatan lebih aktif dari mana-mana Menteri Belia Dan Sukan kepada atlet para kebangsaan dengan hadir ke venue dan berikan sokongan secara adil dan inklusif.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin

“Saya berharap selepas ini mana-mana menteri dan Menteri Belia Dan Sukan harus datang untuk berikan semangat kepada atlet para secara adil dan inklusif kerana ianya akan menaikkan lagi semangat pada atlet dan memartabatkan nama negara,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Belia Dan Sukan,  Hannah Yeoh telah memuat naik hantaran tahniah kepada semua atlet dan pegawai yang terlibat menerusi laman sosial peribadinya.

“Terima berita baik daripada team Majlis Sukan Negara Malaysia yang kini berada di Cambodia bersama semua atlet para Malaysia. Malam ini Majlis Paralimpik Malaysia telah mencapai sasaran 33 emas mereka. Tahniah dan Syabas kepada semua pemenang pingat Malaysia!!!,” tulis hantaran itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sukan Para Asean 2023 : Anwar ucap tahniah kepada kontinjen Malaysia 

Berbaki sehari sebelum upacara penutupan rasmi, skuad negara kini memenangi 42 pingat emas, 35 perak dan 24 gangsa untuk jumlah 101 pingat secara keseluruhan dan berpeluang menambah jumlah itu dalam beberapa lagi acara akhir yang disertai.