ATLET renang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, 27, meletakkan sasaran untuk terus mempertahankan pingat emas dalam Sukan Para Asean 2023 di Kemboja Jun ini.
Jelas Syaiful, temasya sukan pada kali ini merupakan penampilannya yang ketiga selepas berjaya mendapatkan pingat emas dan pingat perak dalam sukan yang sama di Solo.
“Sasaran saya adalah untuk mempertahankan rekod emas dalam acara 50 meter dan 100 meter. Saya juga diberi penambahan sebanyak lima acara namun secara peribadi, sasaran saya untuk Sukan Para Asean kali ini adalah mempertahankan dua pingat yang diperolehi di Solo,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Ketika ditemui dalam sesi latihan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, dia mengakui cabaran yang bakal dihadapi untuk Sukan Para Asean 2023 adalah berentap dengan atlet yang sama ketika beliau beraksi di Solo sebelum ini.
“Cabaran buat saya apabila berhadapan dengan atlet yang sama saya pernah berentap di Solo iaitu dari Vietnam dan Indonesia namun saya akan tetap lakukan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu bagi jurulatihnya, Li Xin Xin yakin perenang-perenangnya mampu meraih pingat emas berikutan semangat dan persediaan yang kuat dilakukan oleh mereka.
“Saya lihat pasukan saya sangat kuat. Saya menjangkakan kami mampu mendapatkan pingat yang lebih banyak di Kemboja dan kami hanya akan lakukan yang terbaik,” kata Xin Xin.
Syaiful yang tampil cemerlang di Sukan Para Asean tahun lalu mendapat perhatian apabila berjaya menyumbangkan dua pingat iaitu pingat emas dalam acara renang 100 meter gaya bebas lelaki S5 dan pingat perak acara renang 50 meter gaya bebas lelaki S5.
Selain itu, dia juga berjaya mencatatkan rekod baharu kejohanan dalam temasya sukan tersebut acara 100 meter gaya bebas S5 dengan catatan masa 33.35 saat sekaligus menewaskan rekod kejohanan 34.50 saat yang dilakukan oleh atlet Vietnam, Vo Thanh Tung pada tahun 2015.