PERSATUAN Renang Para Malaysia (Prema) telah mengenalpasti beberapa nama atlet pelapis yang dilihat mampu menjadi pengganti atlet renang Paralimpik negara, Jamery Siga.
Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin berkata, senarai tersebut akan dikemukakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
“Hasil dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang disertai atlet negara, kita telah mengenalpasti beberapa nama yang terdiri dari negeri-negeri yang mempamerkan aksi memberangsangkan.
“Pengganti Jamery Siga sudah ada, atlet ini akan menggalas tugas memburu pingat pada Sukan Para Asean 2023 di Kemboja pertengahan tahun ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pertama, Prema di pejabat Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada Sabtu.
Prema telah menyertai beberapa kejohanan yang dianjurkan dalam usaha awal menggilap bakat dan prestasi atlet antaranya di kejohanan Sukan Para Remaja Asia (AYPG) Bahrain 2021 dan temasya Sukan Para Asean di Solo, Indonesia tahun lalu.
Jamery meraih pencapaian dua emas dan satu perak dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 bagi acara 50 meter kupu-kupu Lelaki dan 200 meter gaya bebas lelaki S5.
Bagi Sukan Para Asia pula, atlet kelahiran Sarawak ini meraih pingat gangsa bagi acara 50 meter kupu-kupu lelaki dan 200 meter gaya bebas lelaki S5 di Jakarta..