SETIAUSAHA Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Subramaniam Raman Nair memberitahu ganjaran untuk atlet para yang beraksi dalam Sukan Para Asean 2023 akan diberikan mengikut dasar yang sedia ada.
Ia berikutan prestasi cemerlang yang dipamerkan kontinjen negara selepas merangkul 50 pingat emas sekaligus melepasi sasaran 33 emas yang telah ditetapkan sebelum bermulanya temasya sukan tersebut.
“Ganjaran yang akan diberikan mengikut dasar yang sedia ada. Saya pasti kerajaan akan menunaikan apa yang dijanjikan dan saya tidak nampak sebarang masalah disitu.
“Sasaran mengumpulkan RM15 juta juga berjaya dilepasi apabila hasil 50 emas, 34 perak dan 38 gangsa yang diperolehi oleh atlet para sendiri telah melebihi RM15,” katanya kepada media dalam majlis menyambut kepulangan atlet para di KLIA pada Sabtu.
Dalam masa yang sama, susulan Sukan Para Asia (APG) yang bakal berlangsung pada Oktober ini, MPM kini dalam persediaan untuk menyenaraikan nama-nama atlet yang bakal dihantar melalui hasil perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Kumpulan atlet yang bakal dipilih juga adalah berdasarkan persembahan yang ditunjukkan oleh mereka dan juga berdasarkan merit yang telah diperolehi.
“Minggu lepas ada atlet yang menunjukkan persembahan lebih tinggi daripada yang biasa dan mereka ini akan termasuk dalam sesi pemilihan untuk pegi ke Guangzhou.
“Bagi Olimpik Paris pula, kita sudah ada enam emas dan melalui program TambahEMAS, kita akan merangka pelan untuk menambah daripada enam mungkin kepada 10 emas dan perkara itu ketika ini masih dalam progres,” jelasnya.
Selain itu, menjawab kemungkinan insentif yang akan diberikan kepada atlet, Subramaniam menyatakan MPM kini dalam usaha untuk mendapatkan dana daripada mana-mana rakan sukan korporat berikutan kewangan MPM ketika ini tidak begitu kukuh.