KONTINJEN Malaysia ke Temasya Sukan Para ASEAN Solo 2022 sudah bersedia untuk menggalas cabaran negara dan mereka juga bebas dari segala simptom COVID-19 dan kecederaan apabila berlepas ke Solo tengah hari tadi.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang dihubungi FLASH SUKAN nyata gembira dengan proses keberangkatan atlet yang berjalan lancar dan dia sendiri akan bersama-sama atlet pada 28 Julai nanti.
Beliau tidak dapat berangkat bersama-sama kontinjen kerana masih kurang sihat dan berkorban demi memastikan kesihatan para atlet terjamin dan mereka mampu menumpukan perhatian kepada kejohanan.
“Persiapan berjalan dengan lancar. Para atlet sangat bersemangat dan tidak mempunyai sebarang simptom seperti demam atau flu dan mereka semua bersiap sedia dan tidak mempunyai kecederaan.
“Saya akan terbang ke Solo pada 28 Julai nanti kerana masih kurang sihat dan tidak mahu ianya mengganggu kesihatan para atlet. Saya terpaksa berkorban demi keselamatan dan kesihatan kontinjen.
Megat D Shahriman juga turut menyatakan bahawanya pihaknya akan bermesyuarat pada 28 Julai dan akan cuba membawa pulang seberapa banyak pingat yang boleh buat negara.
Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asean Solo 2022 bermula 30 Julai sehingga 6 Ogos akan disertai 116 orang yang terdiri daripada 73 atlet dan 43 pegawai serta jurulatih diketuai Ketua Kontinjen, Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin.
Kali terakhir diadakan lima tahun di Kuala Lumpur, kontinjen negara meraih 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa untuk berada di tangga kedua keseluruhan di belakang Indonesia.