TIGA pingat emas dan dua perak yang dimenangi pada Paralimpik Tokyo 2020, menjadi penanda aras baharu buat kontinjen negara yang menggalas cabaran di Temasya Paris 2024 yang akan membuka tirainya esok.

Pencapaian di Tokyo itu, bertitik tolak dari kegemilangan Temasya Rio yang turut menyaksikan kontinjen negara merangkul tiga emas dan satu gangsa, dan atlet para negara seharusnya bersedia mencipta kejayaan lebih gemilang.

Bermula esok, perjuangan atlet bermula sebaik obor temasya dinyalakan dan alangkah indah sekiranya pungutan enam emas di sepanjang penyertaan Sukan Paralimpik, digenapkan kepada angka 10 di Kota Fesyen itu.

Mampukah Cheah Liek Hou, mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik?

Tumpuan awal tentunya terarah kepada pemain badminton negara, Cheah Liek Hou yang akan mempertahankan emas dimenangi di Tokyo dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), apabila dijadual beraksi pada jam 3.50 petang Khamis, selain seorang lagi atlet negara, Muhammad Fareez Anuar akan beraksi pada masa yang sama.

Selain Liek Hou, tumpuan utama pastinya kepada Datuk Abdul Latif Romly yang memburu hatriknya dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual), selepas memenangi pingat emas acara itu di Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Malah Latif sendiri berazam untuk mengatasi rekod dunia miliknya sendiri sejauh 7.64 meter yang dirakam pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.

Abdul Latif Romly memenangi pingat emas di Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Namun Latif tidak boleh terlalu selesa dengan kehadiran atlet dari Russia yang bernaung di bawah Neutral Paralimpik, kerana atlet terbabit memiliki rekod semusim yang lebih baik Latif ketika ini.

Selain itu, Bonni Bunyau Gustin juga memiliki kelebihan untuk mempertahan pingat emas di menangi di Tokyo dalam acara powerlifting.

Reputasinya sebagai pemilik rekod dunia dengan angkatan 231 kilogram (kg) selain rekod temasya 228kg, dia pastinya pilihan mempertahankan emas kateogri 72kg.

Bonnie antara atlet para yang dijangka mempertahan pingat emas di Paris.

Selepas kegagalan di Tokyo gara-gara kesilapan teknikal menyaksikan penampilan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 (intelektual) antara yang ditunggu-tunggu.

Dia yang terlepas emas gara-gara lewat melaporkan diri di bilik menunggu sebelum pertandingan perlu diberi perhatian agar kesilapan sama tidak diulang.

Selain penyandang emas, kontinjen negara mungkin mampu menambah kilauan pingat itu dalam acara lompat jauh T37 (kecacatan fizikal) menerusi Muhammad Nazmi Nasri, selepas atlet itu muncul juara di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun dengan jarak lompatan 6.13m.