MENGAKUI tertekan sebelum berlangsungnya Sukan SEA 2021, atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang murah dengan senyuman, berasa lega dan berterima kasih kepada jurulatihnya yang sentiasa menyokong dan memberi semangat.
Pada edisi dwitahunan kali ini, Dhabitah berjaya menggondol dua pingat emas untuk acara 1 meter papan anjal wanita dan 10 meter platform seirama.
“Saya tidak dapat menjelaskan betapa bangganya saya dengan kita semua. Kami berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk pertandingan ini di sebalik segala kepayahan dan cabaran yang kami hadapi.
“Agak memberi tekanan kepada jurulatih juga tetapi mereka kekal tenang dan membantu kami meraih semua pingat emas,” katanya.
Dia turut berterima kasih kepada pengurus pasukan, Datuk Leong Mun Yee dan rakan sepasukan, Datuk Pandelela Rinong, yang selalu optimis dengan keupayaan dirinya dalam memastikan mencapai kejayaan di Hanoi.
“Kepada @leong_munyee terima kasih kerana menjadi pengurus pasukan terbaik walaupun ini kali pertama anda melakukannya tetapi anda menjaga kami dengan baik. Saya sangat gembira mempunyai anda sebagai keluarga kedua saya.
“Kepada @pandelela saya sangat gembira dengan persembahan kita. Berdepan kecederaan dan bertanding bukanlah mudah tetapi kami berjaya memberikan yang terbaik merangkul pingat emas itu. Tidak sabar untuk melakukan lebih banyak terjunan dengan anda.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada MSN, ISN dan OCM kerana menyokong perjalanan kami sepanjang di Sukan SEA,” ujarnya lagi.
Sebagai rekod, skuad terjun negara meletakkan sasaran lapan pingat emas untuk menyapu bersih kesemua yang dipertandingkan dalam edisi kali ini, di mana ia dilengkapkan Pandelela dan Nur Dhabitah dalam acara terakhir pada Rabu.