SEBENARNYA tidak perlu dikesalkan kegagalan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara yang tidak berjaya ke perlawanan akhir Sukan SEA 2021.

Ini kerana sasaran penanda aras ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah mara ke separuh akhir dan KPI itu telah dicapai dengan jayanya walaupun sudah terbit suara sinis segelintir peminat tempatan yang meluahkan kritikan di media sosial.

Aksi pemain negara tidaklah teruk kerana dapat bertahan sehinggalah bocor dalam masa tambahan 30 minit berpunca satu gerakan set piece dan kemudian disambut pemain Vietnam dan terus menerjah jaring dikawal Azri Ab Ghani.

Ramai yang menyalahkan Azri apabila tersalah jangkauan dan dilihat keluar ke depan untuk menghalang gol tandukan Nguyen Tien Linh namun bola bergerak laju untuk jaringan pemisah kedua-dua pasukan.

Tampak barisan pemain negara yang semakin keletihan tetapi pujian wajar diberikan kepada Azri yang sebelum ini menyelamatkan banyak peluang berbahaya Vietnam sepanjang perlawanan.

Pengorbanan Azri yang menahan kesakitannya dan enggan dikeluarkan seharusnya dipuji walaupun Brad Maloney sudah memanggil penjaga gawang simpanan berada untuk masuk menggantikannya pada masa tambahan.

Sesuatu perkara yang positif dapat dilihat oleh Azri adalah semangat mahu bermain demi di lencana yang mengekang asakan pihak lawan, apatah lagi mendapat sokongan peminat fanatik di stadium.

Malah pada satu ketika Malaysia bermain sekejap dengan 10 pemain tetapi dapat bertahan baik sehinggalah tuan rumah mendapat gol, itu pun di penghujung masa tambahan !

Biasalah dalam bola sepak, apatah lagi peringkat kalah mati yang mahu mencari pemenang. Rezeki tidak memihak Malaysia meskipun muncul beberapa peluang menghasilkan gol.

Ketumpulan dua penyerang yang beraksi di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh juga sebenarnya faktor menyumbang kita terpaksa akur perjalanan terhenti di separuh akhir dan terus kemarau nikmat kejuaraan pingat emas sejak kali terakhir memenanginya pada 2011.

Buat pemain Malaysia B-23, syabas diucapkan yang hadir ke Hanoi dan Nam Dinh tanpa membawa pemain berusia lebih 23 tahun berbanding pasukan lain yang diperkuat pemain senior.

Ubat pengubat duka buat pemain dan penyokong dengan perlu meraih pingat gangsa berdepan negara tetangga, Indonesia pada penentuan aksi kedudukan ketiga terbaik di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Ahad.

Semoga terus tampil garang di kejohanan Sukan SEA Kemboja tahun hadapan dan segala persiapan wajib bermula dari hari ini !