MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menaruh kepercayaan kepada pasukan bola sepak Harimau Muda untuk bangkit meraih pingat gangsa dalam perlawanan penentuan tempat ketiga bertemu Indonesia di Hanoi, pada Ahad.
Beliau berharap pemain tidak terbawa-bawa kekecewaan yang masih lagi terkesan disingkirkan tuan rumah di peringkat separuh akhir.
“Bermain berdepan pasukan tuan rumah (Vietnam), saya rasakan mereka sudah bermain dengan baik. Saya harap mereka dapat kekalkan momentum dan semangat ini dalam perlawanan tempat ketiga dan keempat.
“Saya harap skuad negara dapat membawa pulang pingat gangsa…itu saya anggap satu kejayaan,” ujarnya memberitahu skuad kendalian Brad Maloney itu telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang aksi pada temasya sukan dwitahunan tersebut.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak di Sukan SEA ialah pada edisi 2011 di Indonesia ketika di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.
Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu ialah muncul naib juara edisi 2017 di Kuala Lumpur sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina.