SKUAD bola sepak Malaysia B-23 pulang dari Hanoi dengan tangan kosong apabila gagal meraih pingat gangsa Sukan SEA 2021 selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Indonesia 4-3 (1-1) di Stadium Nasional My Dinh, sebentar tadi.

Beraksi dalam cuaca hujan mengakibatkan bola banyak berlegar-legar di kawasan tengah padang dan sesekali Malaysia melakukan serangan namun gagal memecah kebuntuan di sepanjang babak pertama.

Peluang terbaik negara mendapat gol selepas pertukaran pemain nyaris membuahkan hasil tetapi sepakan Syahir Bashah m-65 berjaya ditolak Fachruddin Wahyudi Aryanto.

Begitu juga percubaan Quentin Cheng dua minit berselang namun sekadar melewati palang gol.

Indonesia akhirnya di depan menerusi larian solo Ronaldo Joybera untuk gol m-68.

Bagaikan tersentak dari lamunan, Malaysia segera memperkemaskan mutu permainan dan kali ini penyerang gantian, Hadi Fayyadh menyamakan kedudukan m-81 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Tuah milik Indonesia apabila sepakan penalti terakhir Marc Klok memastikan pingat gangsa milik mereka.

Pertemuan Indonesia dan Malaysia sebentar tadi adalah perebutan tempat ketiga Sukan SEA yang pertama sejak tahun 2005.

Ketika itu, pada Sukan SEA 2005 di Filipina, Malaysia menundukkan Indonesia dengan keputusan 1-0.

Manakala, pada Sukan SEA 1985 di Thailand, kedua-dua pasukan juga bertemu untuk tempat ketiga dengan Malaysia berjaya mengalahkan Indonesia dengan satu gol tanpa balas.

Hadi Fayadh Abdul Razak gagal – Malaysia B-23 0-0 Indonesia B-23
Asnawi Mangkualam gagal – Malaysia B-23 0-0 Indonesia U-23
Hairiey Hakim Mamat gol – Malaysia B-23 1-0 Indonesia B-23
Muhammad Ridwan gol – Malaysia B-23 1-1 Indonesia B-23
Luqman Hakim gagal – Malaysia B-23 1-1 Indonesia B-23
Marselino Ferdinan gol – Malaysia B-23 1-2 Indonesia B-23
Harith Haiqal gol – Malaysia B-23 2-2 Indonesia B-23
Saddi Ramdani gol – Malaysia B-23 2-3 Indonesia B-23
Mukhairi Ajmal gol – Malaysia B-23 3-3 Indonesia B-23
Marc Klok gol – Malaysia B-23 3-4 Indonesia B-23