JURULATIH skuad bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23) Brad Maloney mengakui tewas pada penghujung permainan adalah sesuatu yang amat memeritkan.
Dia berkata, pemain dapat bertahan dengan baik asakan Vietnam termasuk boleh mengimbangi kekuatan lawan sehingga bolos pada minit ke-111 oleh tandukan Nguyen Tien Linh.
“Ia sukar untuk diterima tetapi pada sama kami faham Vietnam adalah pasukan terbaik dalam perlawanan ini,” katanya selepas perlawanan di Stadium Viet Tri Phu Tho pada Khamis.
Kecederaan beberapa pemain sehingga terpaksa digantikan seperti Harith Haiqal Adam Afkar yang tampil cemerlang merencatkan perancangan Brad.
“Bukan mudah kehilangan pemain utama, malah penjaga gol kami (Muhammad Azri Ab Ghani) juga cedera dari awal permainan dan seorang atau dua pemain terpaksa digantikan.
“Ia tidak ideal tetapi saya fikir pemain yang menggantikan mereka melakukan yang terbaik,” katanya lagi.
Dalam edisi dwitahunan di Hanoi ini, skuad negara menurunkan pemain dengan rata-ratanya berusia 21 tahun sebagai persiapan sebelum mereka berentap ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan, bulan depan.