PENYERANG muda skuad bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23), Hadi Fayyadh Abdul Razak berazam menambah koleksi jaringan sekiranya diberi peluang membarisi kesebelasan utama menentang Vietnam pada Khamis.
Dua gol terhasil daripada pemain kelab Jepun, Azul Claro itu yang membantu Malaysia seri 2-2 ketika bertemu Kemboja pada saingan terakhir peringkat Kumpulan B.
Kini, pertembungan separuh akhir di Stadium Vietnam Tri, Phu Tho adalah medan misi hidup mati negara untuk melangkah ke pentas final edisi dwi-tahunan Sukan SEA 2021 sekali gus menyalakan impian memburu gelaran pingat emas.
“Saya sedia buat lagi yang terbaik untuk perlawanan akan datang jika diturunkan jurulatih. Perjalanan kami masih jauh tapi saya yakin jurulatih ada taktikal istimewa untuk menentang Vietnam,” ujarnya bersemangat untuk berdepan Vietnam.
Berdasarkan rekod pertemuan dengan Vietnam di separuh akhir Sukan SEA sebelum ini, ia tidak memihak Malaysia apabila tewas 3-4 dan 1-2 pada 2003 dan 2005.
Namun, Malaysia juga pernah mengalahkan Vietnam di Sukan SEA terutama ketika menang 1-0 di final pada 2009 di Laos.