SKUAD Bawah 23 (B-23) Malaysia harus berjaga-jaga dengan ancaman pemain Singapura terutamanya Saifullah Akbar yang dijangka membuat debut dalam aksi kedua-dua pasukan di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada Sabtu.
Selepas membantu Singapura menewaskan Kemboja 1-0 sekali gus membuka peluang merebut ke peringkat separuh akhir, Saifullah, 23 kelihatan tidak sabar bertemu Malaysia di kejohanan Sukan SEA 2021.
“Kalau tak silap saya tidak pernah beraksi menentang pasukan kebangsaan Malaysia di mana-mana peringkat. Saya rasa esok (malam ini) akan menjadi yang pertama kali. Patutlah hebat, InshaAllah.
“Nantikan perlawanan sulung saya dengan Tigers! ,” demikian ciapan Saifullah di Twitter.
Pemain tengah menyerang itu turut bertekad akan beraksi habis-habisan menentang Malaysia pada hari perlawanan sambil mengharapkan keputusan lain akan menyusul.
Penampilan Saifullah cukup cemerlang dalam SPL dalam tempoh dua tahun sebelum ini dan penyokong Singapura menagih harapan dia dapat mencari semula prestasi terbaiknya apabila kembali beraksi dalam negara.
Singapura kini berada di kedudukan kedua kumpulan mengutip empat mata selepas terlibat tiga perlawanan, hanya satu mata mengatasi Thailand.
Manakala, Malaysia kekal mendahului dengan memperoleh enam mata hasil dua kemenangan. Dua pasukan teratas mara ke peringkat separuh akhir.
Sandaran skuad bimbingan Brad Maloney pastinya terarah lagi kepada penyerang luar negara, Luqman Hakim Shamsudin yang mula menemui sentuhan gol depan gawang di peringkat pasukan kebangsaan.
Semalam, para pemain dalam mood ceria menjalani sesi latihan di Nam Dinh sebagai persiapan menghadapi Singapura yang dijangka tidak memberikan laluan mudah pertembungan 90 minit.
Jadinya, kemenangan wajib dilakar pasukan junior negara untuk terus layak awal ke peringkat separuh akhir tanpa menunggu pertemuan terakhir berdepan Kemboja pada Isnin.