KETUA pasukan Futsal Wanita Kebangsaan, Intan Sarah Anisah berkata gelaran kapten hanyalah sekadar gelaran sahaja kerana semua pemain di dalam pasukan adalah sama namun tetap berbangga dengan tanggungjawab yang diberikan.

Pemain berusia 23 tahun ini adalah antara pemain futsal dan bola sepak yang menyerlah dan popular dalam sukan ini selain dia juga adalah seorang ‘gamers’ ketika tidak beraksi.

Senang disapa sebagai Intan, gadis ini yang bakal mengetuai skuad futsal wanita kebangsaan di Sukan SEA 2021 Vietnam dan meletakkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya pingat perak namun tetap akan melakukan yang terbaik untuk memenangi pingat emas.

“Kami mensasarkan sekurang-kurangnya pingat perak. Kami akan beraksi bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pingat ini tetapi pada masa yang sama kami bersedia untuk mencabar pingat emas pada temasya ini.

“Saya pilih Thailand sebagai pencabar utama kerana kami pernah tewas kepada mereka pada temasya 2017 di Kuala Lumpur. Tidak banyak yang kita ketahui tentang persediaan Vietnam dan saya menganggap mereka juga mampu mencabar kami,” jelas Intan.

Selain itu, Intan juga turut berharap agar lebih banyak pertandingan futsal kategori wanita diadakan bagi mewujudkan bakat-bakat baharu yang mampu diketengahkan.

Intan juga kecewa dengan tindakan beberapa media terutama di media sosial yang sering menggunakan ‘click bait’ dan melaporkan sesuatu yang hanya melemahkan semangat para pemain.

“Senario futsal wanita di Malaysia masih perlukan penambahbaikan dan lebih pendedahan. Tidak banyak pertandingan wanita kecuali MPFL yang dijalankan. Lebih banyak pendedahan boleh dilakukan jika banyak pertandingan diwujudkan. Bagaimana hendak ‘scouting’ jika tiada permainan.

“Saya tidak mahu timbulkan kontroversi tetapi saya berharap agar media di Malaysia tidak melakukan ‘click bait’ dengan laporan yang menyentuh hati para pemain. Kami tidak kisah jika tiada cerita tentang kami tetapi jangan gunakan cara itu” kongsinya.

Skuad futsal wanita negara telah berlepas ke Hanoi pada Selasa dan akan memulakan kempen Sukan Sea berhadapan tuan rumah, Vietnam pada 10 Mei, Myanmar (13 Mei), Indonesia (15 Mei) sebelum berhadapan juara bertahan, Thailand pada 17 Mei.