PASUKAN karate negara menyumbang emas keempat untuk Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Vietnam 2021 sekali gus mencapai sasaran misi 36 pingat emas, pada Jumaat.
Pasukan kumite lelaki yang terdiri daripada karateka iaitu, Sharmendran Raghonathan, Prem Kumar Selvam, Sureeya Sankar Hari Sankar, Geerijaieswaran Pillai Sivanesan, Kueggen Viyaya Kumar, Kathish S Gnanasekaran dan Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik telah menewaskan lawan mereka dari Indonesia (3-0) untuk memenangi pingat emas kategori pasukan kumite lelaki.
Kemenangan itu berjaya mencapai sasaran pingat yang ditetapkan untuk Kontinjen Malaysia yang diketuai Datuk Nur Azmi Ahmad.
“Kini saya dengan bangganya boleh mengatakan bahawa karate telah menyelamatkan Kontinjen Malaysia mencapai sasaran pingat yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan,” kata Nur Azmi yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).
Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut mengucapkan tahniah kepada semua karateka, MAKAF dan Nur Azmi kerana Kontinjen Malaysia berjaya meraih pingat emas kategori pasukan kumite lelaki.