PENERJUN negara, Ng Yan Yee berjaya menambah pungutan pingat emas buat negara dan peribadi apabila memenangi emas dalam kategori 3m Papan Anjal Wanita Individu di Pusat Akuatik My Dinh.

Atlet yang lebih mesra disapa Wendy ini mencatat 270.60 mata dari lima terjunan untuk memenangi pingat emas kedua beliau dalam Temasya Sukan Sea Ke-31 kali ini.

Meskipun melakukan kesilapan ketika terjunan keempat, Wendy tidak berdepan masalah untuk muncul pemenang selepas dua terjunan awal beliau sudah cukup untuk memberikan kelebihan kepada olimpian negara ini.

Tambah manis buat kontinjen negara apabila penerjun muda, Ong Ker Ying berjaya mendapat pingat perak dengan 242.20 mata manakala pingat gangsa pula menjadi milik penerjun Singapura, Fong Kay Yian dengan 230.15 mata.

Kejayaan Ng Yan Yee dan Ong Ker Ying ini memperlihatkan penguasaan penuh negara dalam acara terjun ini dengan tiga lagi pingat emas menjadi buruan skuad terjun kebangsaan.