JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengucapkan selamat berjaya kepada skuad bola sepak bawah 23 (B-23) kebangsaan yang bakal berdepan Thailand jam 8 malam ini.
Menerusi hantaran di Twitternya, beliau menzahirkan kiriman tersebut kepada Brad Maloney, staf teknikal dan kepada semua pemain yang akan berjuang di bumi Vietnam malam ini.
“Ucapan kepada Brad Maloney, staf teknikalnya dan pemain skuad Harimau Muda untuk melakukan yang terbaik untuk menghadapi Sukan SEA di Hanoi, Vietnam,” katanya.
Terdahulu, seorang peminat bola sepak tempatan telah meminta kebenaran untuk meminjam slogan yang digunakan Kim Swee dengan melakukan retweet kepada jurulatih tersebut.
“Mereka tidak menghormati anda, mereka tidak menghormati bendera kami.
“Mereka tidak menghormati raja kami, mereka tidak menghormati ibu bapa anda.
“Jika anda benarkan ianya berlaku, anda adalah penakut.
“Anda harus ajar mereka apa ertinya menjadi rakyat Malaysia,” ujar Kim Swee.
Skuad negara berada dalam kumpulan B bersama Singapura, Laos, Thailand dan Kemboja manakala kumpulan A pula menempatkan Vietnam, Indonesia, Filipina, Timor Leste dan Myanmar.
B-23 Malaysia bakal turun bertemu Thailand di Stadium Thien Truong sebelum berdepan Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).
Dua pasukan teratas kumpulan A dan B akan mara ke peringkat separuh akhir.