MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melontarkan semboyan bahawa beliau yakin dengan kemampuan kontinjen negara serta menyifatkan atlet Negara adalah digeruni di peringkat Asia dan percaya saingan sengit akan diberi dalam kejohanan yang bakal memulakan kempen pada 12 Mei ini.

Beliau turut memberi gambaran kejayaan terbesar adalah ketika atlet tersebut melepasi rekod peribadi masing-masing sambil mendedahkan Sukan SEA di Hanoi ini merupakan medium terbaik kepada atlet baru memanaskan badan dan bersedia ke kejohanan lebih besar kelak.

“Saya percaya kita mempunyai para pemain yang mampu untuk membawa kejuaraan atau pun pingat emas.  Walaupun persiapan pasukan terlewat sikit tetapi kemampuan pemain tu , saya fikir kita bukan tahap kaleng-kalenglah, kita satu pasukan yang digeruni di Asia, saya pasti kita akan bagi saingan yang paling baik.

“Kita dapati lebih daripada 35 peratus daripada jumlah atlet yang bertanding adalah atlet baru dan Sukan SEA adalah satu temasya sukan yang mana kita memberi pendedahan kepada atlet baharu.

“Ini yang perlu kita fahami bahawa mereka ini perlu didedahkan dengan kejohanan antarabangsa supaya mereka dapat mencabar diri untuk memperbaiki prestasi diri sendiri dan seboleh-bolehnya membawa pulang pingat,” jelasnya kepada media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negara Ke Sukan SEA 2021 pada Rabu.

Mengenai sasaran 36 pingat emas, beliau menegaskan ianya adalah sesuatu yang realistik.

“Sasaran yang kita letak tu amat munasabah, hakikat bahawa kita ada agenda yang lebih besar untuk banyak pingat di kejohanan seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik yang menjadi dambaan seluruh rakyat dan emas pertama yang menjadi ilusi boleh kita capai dengan momentum atlet-atlet baru itu dapat kita kekalkan, matlamat sebenar yang sama sama kita harapkan’

“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, sasaran 36 pingat emas kerana maklumat kita tentang atlet-atlet negara lain tidak ada, sebegitu juga dengan atlet dari negara lain kerana kurang kejohanan,” ujarnya.