JURULATIH skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) Malaysia, Brad Maloney memberitahu anak buahnya bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pasukan pada separuh akhir kejohanan Sukan SEA Vietnam pada Khamis.

Malaysia memilih laluan berliku untuk bertemu tuan rumah, Vietnam di peringkat separuh akhir selepas Thailand muncul juara Kumpulan B.

Satu lagi aksi melibatkan pertembungan antara Indonesia dan Thailand yang berlangsung hari sama.

Dalam saingan terakhir di Stadium Thien Truong, Nam Dinh anak buah Maloney nyaris dikejutkan Kemboja yang ketinggalan dua kali sebelum bangkit mengakhiri perlawanan dengan seri 2-2.

“Kami tidak boleh mengelak bertemu pasukan kuat kerana bagi saya dua pasukan dari Kumpulan A amat kuat.

“Jadi kami kena bersedia bertemu mana-mana pasukan pada perlawanan seterusnya,” katanya selepas permainan.

Maloney berkata, tempoh rehat akan digunakan sebaik mungkin bagi proses pemulihan dan penyusunan semula skuad menjelang pertembungan getir di Stadium Viet Tri, Phu Tho.

Kelincahan pemain Vietnam, Ho Thanh Minh (jersi putih) harus diawasi skuad B-23 Malaysia.

Vietnam yang merupakan penyandang juara muncul juara Kumpulan A dengan mengutip 10 mata.

Pemenang bakal membuat perhitungan penentuan pingat emas di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Ahad ini.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019.