LUQMAN Hakim Shamsudin kembali meniti di bibir peminat bola sepak selepas menyumbat dua gol di sebalik kemenangan 3-1 mengatasi Laos kejohanan Sukan SEA 2021 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada Rabu.

Bagaimanapun, perasan penyerang muda KV Kortrijk ini bercampur baur selepas berjaya menamatkan kemarau jaringan bersama skuad negara yang kali terakhir mencetak nama sebagai penjaring di Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Phnom Penh, Kemboja pada November 2019.

“Pertama sekali, Alhamdulillah syukur sangat dengan hasil ini atas usaha saya sendiri, gembira memang gembira, sedih pun sedih juga sebab pada 2022 baru saya dapat jaringkan gol untuk Malaysia.

“Saya bersyukur sangat atas sokongan diberikan jurulatih, rakan-rakan dan terutama keluarga serta peminat Malaysia yang menunggu-nunggu jaringan daripada saya. Saya amat teruja sekali dengan diri saya dan hasil usaha kerja keras saya selama ini.

“Perasaan sedih itu memang ada sebab saya bekerja keras untuk pasukan Malaysia dan untuk saya sendiri. Alhamdulillah, Alhamdulillah,” katanya.

Namun begitu, memetik Bernama pemain kelahiran Kota Bharu itu tetap belum berpuas hati dengan prestasi diri sendiri sepanjang perlawanan bertemu Laos dan Thailand.

“Pasukan bukan mahu menang dengan Laos dan Thailand saja, pasukan hendak menang semua perlawanan dalam Sukan SEA, kita hendak meraih pingat emas,” ujarnya lagi.

Malaysia kini menerajui kedudukan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas menang pada dua aksi pertama.

Anak buah Brad Maloney akan meneruskan cabaran dengan menentang Singapura Sabtu ini sebelum menutup saingan kumpulan bertemu Kemboja pada 16 Mei. Kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong.