KONTINJEN Malaysia berjaya menambah jumlah pungutan pingat emas kepada 10 di Gimnasium Cau Giay, Hanoi apabila atlet wushu Clement Ting Su Wei mengungguli acara Changquan lelaki, pada Jumaat.
Dia muncul juara dalam kategori itu selepas mengumpul 9.70 mata, mengatasi atlet Singapura, Jowen Si Wei yang turut memperoleh 9.70 mata namun terpaksa berpuas hati dengan perak susulan mempamerkan aksi pada tahap kesukaran lebih rendah.
Gangsa milik Seraf Naro dari Indonesia, mengutip 9.69 mata.
“Masih lagi terkejut apabila dapat memenanginya kerana saya langsung tidak memikirkan tentang emas hari ini.
“Saya beraksi sama seperti dalam sesi latihan dan berjaya melakukannya tanpa sebarang kesilapan.
“Pingat emas ini sesuatu yang saya mahukan sejak sekian lama,” ujarnya membuat kemunculan pertama kali di pentas Sukan SEA.
Sementara itu, Wai Leong Calvin memenangi pingat perak untuk Malaysia dalam acara Nandao lelaki dengan pungutan markah 9.68.