PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan senarai akhir 20 pemain yang dipilih ketua jurulatih, Brad Maloney untuk memberikan saingan Sukan SEA di Hanoi, Vietnam.

Empat pemain yang telah digugurkan adalah penjaga gol tinggi lampai dari Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim, pemain Selangor FC II, Fahmi Daniel serta dua pemain JDT II, Umar Hakeem dan Shafi Azswad.

Bagaimanapun, mereka akan terus berada di Vietnam dan bersedia untuk menggantikan mana-mana pemain yang gagal melepasi ujian Covid-19.

Pemain-pemain menjalani latihan terakhir menjelang pertemuan dengan Thailand pada Sabtu.

“Ia bukan mudah untuk saya tetapi saya harus membuat keputusan kerana peraturan hanya membenarkan 20 pemain sahaja didaftarkan,” ujar Maloney.

Malaysia bakal membuka saingan bagi Kumpulan B menentang Thailand pada Sabtu pukul 8 malam, sebelum berdepan dengan Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh.

Hanya dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir.