PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri bakal turun ke gelanggang hari ini dalam acara 1 meter (m) papan anjal sekaligus menjadi prospek pingat emas pertama negara di Sukan SEA ke-31, Hanoi, Vietnam.

Pembawa Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ini yang terkenal dengan senyuman manis ini dijangka bakal membawa pulang pingat emas dengan sukan terjun pastinya menjadi lubuk emas kontinjen negara.

Skuad terjun negara yang menyasarkan lapan pingat emas di temasya dwitahunan ini dijangka tidak berhadapan masalah untuk mencapai sasaran sesuai dengan status Malaysia sebagai antara gergasi terjun dunia.

Selain acara 1m papan anjal, Dhabitah akan turun bersama Datuk Pandalela Rinong dalam acara 10 meter platform dan mereka dilihat serasi selepas beberapa kali digandingkan dalam pelbagai kejohanan.

Prospek pingat emas pertama ini bakal memberikan suntikan semangat buat kontinjen negara dalam menghadapi cabaran di Sukan SEA kali ini.

Secara keseluruhan Malaysia mensasarkan 36 pingat emas untuk kejohanan kali ini.

Sukan terjun membuka saingan bermula dari 8-11 Mei dengan dua pingat emas menjadi rebutan pada hari pertama. Mampukah senyuman dan terjunan Dhabitah menambat hati juri?

Sama-sama kita nantikan.