TUMPUAN kembali terarah kepada pelari muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang diberikan tanggungjawab untuk bersaing mempertahankan pingat emas acara pecut 100 meter Sukan SEA 2021.
Sebelum ini namanya diketepikan bagi memberi laluan kepada pelari berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib yang pada mulanya akan diletakkan bersama Muhammad Arsyad Md Saat.
Rekod Muhammad Azeem dilihat cukup baik dengan mendahului carta kedudukan pelari terpantas negara catatan 10.37 saat yang dilakukan dalam Kejohanan Kuala Lumpur All-Comers bulan lalu.
Berbanding Russel Alexander dan Muhammad Arsyad yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga selepas merekodkan 10.46s.
Terdahulu, ketua jurulatih olahraga negara dalam laporan portal tempatan, Mohd Manshahar Abdul Jalil menegaskan pemilihan Russel Alexander dan Muhammad Arsyad selepas masing-masing layak secara merit.
Ramai peminat mahukan Muhammad Azeem diberi keutamaan berdasarkan prestasi semasa bagi mencipta hatrik emas di temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam.
Malaysia berjaya menguasai acara riben biru bagi dua edisi Sukan SEA secara berturut-turut sekaligus mengakhiri penantian selama 14 tahun menerusi Khairul Hafiz Jantan yang memenangi 100m pada 2017 apabila mengungguli aksi final dengan catatan 10.38s.
Dua tahun berselang edisi di Manila, Filipina Muhammad Haiqal Hanafi mengekalkan kemenangan itu dengan catatan 10.35s.
Begitupun, saingan kali ini agak getir kerana berdasarkan pencapaian semasa, Lalu Muhammad Zohri (10.03s) dari Indonesia dan Puripol Boonson (10.19s) dari Thailand dilihat sebagai pilihan untuk merebut gelaran Raja Pecut Asia Tenggara kali ini.
Sementara itu, bagi acara 4x100m lelaki, skuad negara dibarisi oleh Muhammad Azeem, Muhammad Arsyad, Jonathan, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail dan pihak jurulatih dijangka akan memilih barisan terbaik dalam masa terdekat.
Skuad olahraga diletakkan harapan tinggi sebagai lubuk emas negara dan sasaran lima emas mampu dicapai berdasarkan pencapaian semasa atlet bertanding.