PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad, memberi suntikan semangat melawat skuad futsal lelaki dan wanita negara di Muong Thanh Luxury Ha Nam sebelum saingan bermula.
Skuad lelaki negara akan membuka tirai perlawanan esok (11 Mei) manakala skuad wanita pada 15 Mei dengan masing-masing akan menentang Thailand.
“Jika kita mahukan kemenangan, jurulatih dan pemain masing-masing perlu memainkan peranan dan bekerjasama untuk menang.
“Persefahaman dan ikatan sebagai satu pasukan perlu kuat, kena satu hati untuk kita menempa kejayaan ini.
“Perlu diingat setiap perlawanan adalah umpama final buat kita, maka perlu berjuang dengan semangat tinggi,” kata Datuk Haji Hamidin.
Dalam pada itu, Hamidin akui Thailand sememangnya kuat, tetapi tidak mustahil untuk kita mencapai kemenangan.
“Tidak mustahil untuk kita mencatat kemenangan tahun ini, apa yang penting semangat pasukan dan misi adalah sama… untuk berusaha mencapai kemenangan demi negara.
“Dalam setiap kejayaan ada pengorbanan, iaitu pergorbanan meninggalkan keluarga, insan tersayang dan sebagainya untuk kita mencapai misi kemenangan ini.
“Maka jadikan ia sebagai bukan misi yang mustahil,” tambahnya.
Hadir sama dalam meninjau persiapan skuad futsal negara ialah Timbalan CDM, Afrita Afriany Nasril.