BEKAS pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal tetap menitipkan kata-kata positif kepada pemain bola sepak Malaysia B-23 yang bertanding di Sukan SEA 2021.

Pasukan bimbingan Brad Maloney terkandas di peringkat separuh akhir apabila disingkirkan juara bertahan juga tuan rumah kejohanan, Vietnam 1-0 di Phu Tho, pada Khamis.

Kini, yang tinggal adalah misi memburu pingat gangsa sebagai pengubat duka lara gagal ke perlawanan akhir edisi kali ini.

“Sangat berharap pemain kuat dan memberikan segala yang mereka ada untuk perlawanan menentang Indonesia.

‘”Ia adalah satu perjalanan yang panjang untuk pemain muda ini di Sukan SEA dan mereka mempunyai kualiti baik secara individu mahupun sebagai satu pasukan,” tulis catatan Rajagobal di Twitter.

Malaysia bermula cemerlang peringkat Kumpulan B yang disertai Thailand, Kemboja, Singapura dan Laos.

Perlawanan klasifikasi tempat ketiga melawan Indonesia akan berlangsung di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Ahad.

Manakala, pemenang 16 kali temasya, Thailand bertemu Vietnam dalam saingan final hari sama sebelah malam.