SRIKANDI silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir berhajat untuk membawa pulang pingat emas untuk Malaysia dalam acara silat Putri F (70-75kg) pada temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam kali ini.
Persiapan pesilat berpengalaman itu jelas pada tahap terbaik dan kini hanya ingin memperkemaskan teknik-teknik untuk turun beraksi dalam acara tersebut dan ia merupakan penampilan terakhirnya di temasya ini sebelum bersara.
Menurutnya, saingan kali ini adalah lebih terbuka daripada kesemua negara kerana tidak dapat meramalkan prestasi pesilat dari lain-lain negara ekoran peraturan baharu yang pertama kalinya diperkenalkan oleh tuan rumah, Vietnam.
“Harapan saya kali ini besar, moga saya dapat bawa balik pingat emas ke bumi Malaysia.
“Insyallah, persiapan Alhamdulilah berjalan lancar sekarang kita dah persediaan akhir memperkemaskan lagi teknik dan taktik.
“Bagi saya kali ini semua negara terbuka, kita tidak tahu lawan mana yang lebih atau kurang disebabkan peraturan baru yang pertama kalinya dipertandingkan di Sukan SEA,” ujarnya.
Pesilat kelahiran Kuala Terengganu itu menjelaskan dia tidak berasa sebarang tekanan kerana telah menyerahkan segala usahanya kepada tuhan.
Namun, dia turut meminta doa daripada rakyat Malaysia agar kejayaannya memperoleh emas yang dinanti-nanti kerana sejarah sukan tersebut turut berasal dari negara ini sambil menjanjikan aksi terbaik dalam temasya dwi tahunan itu.
Tambahnya, motivasi yang sentiasa dipegang dalam setiap kejohanan yang dilaluinya adalah untuk memberikan lebih dari 100 peratus daripada apa yang mampu dilakukan.
“Saya serahkan sepenuhnya pada Allah , saya pasti Insyallah akan buat yg terbaik, moga rezeki saya di Vietnam nanti.
“Saya minta semua mendoakan saya , kalau rezeki milik saya , emas untuk Malaysia.
“Motivasi saya adalah sentiasa beri lebih daripada seratus peratus yang anda mampu lakukan,” ujar Siti Rahmah.
Setelah selesai berjuang di Sukan SEA Vietnam, Siti Rahmah akan meneruskan aksinya dalam Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung di Malaysia bulan hadapan.
Anak kepada bekas legenda bola sepak Terengganu, Allahyarham Mohamed Nasir Jalil juga berjaya merangkul empat pingat emas dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia bermula pada tahun 2012, 2014, 2016 dan 2018 bagi Kelas , selain dinobatkan olahragawati Terengganu dua kali berturut- turut pada tahun 2016 dan 2018 sekali gus membuktikan dia antara pesilat paling digeruni lawan.