SKUAD bola sepak Bawah 23 (B-23) Malaysia perlu menunggu aksi terakhir untuk mengesahkan laluan ke separuh akhir Sukan SEA 2021 selepas seri 2-2 menentang Singapura saingan Kumpulan B di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, sebentar tadi.

Malaysia yang turun jersi tradisi kuning hitam bermula garang dengan mencipta gerakan berbahaya dan mencemaskan kubu Singapura.

Kem negara terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Luqman Hakim Shamsudin yang tenang menjaringkan gol pertama Malaysia m-4 dan gol ketiganya di Sukan SEA.

Kegembiraan anak buah Brad Maloney tidak kekal lama apabila tiga minit berselang, Muhammad Shah Shahiran menyamakan kedudukan m-7 yang menewaskan Azri Ab Ghani.

Permainan terhenti seketika apabila Luqman Hakim mengerang kesakitan namun selepas diberikan rawatan kembali masuk ke dalam padang.

Bermula gerakan dari sebelah kanan lawan, hantaran Luqman Hakim kepada Ahmad Danial Ahmad Asri nyaris membuahkan hasil tetapi rembatannya ditepis keluar Zaiful Nizam Abdullah.

Bersambung babak kedua, beberapa perubahan dilakukan oleh Maloney yang melakukan pertukaran pemain memasukkan Hadi Fayyad Abdul Razak dan Nur Azfar Fikri Azhar dalam usaha menambah semangat di bahagian hadapan.

Percubaan terbaik Singapura hadir sepakan Kweh Nia Jin Gleen m-75 tetapi melepasi palang gol. Gawang Malaysia akhirnya bocor berpunca sepakan percuma diambil Shah disambut Harhys Rizal Gareth Ian Stewart m-78.

Situasi bermula dari sepakan sudut yang diambil Nik Akif Syahiran m-82 berjaya ditanduk masuk Muhammad Faiz Amer Runnizar untuk Malaysia kembali mengikat permainan menjadikan kedudukan 2-2.

Berlaku sedikit kekecohan minit-minit akhir permainan masa tambahan dan tiada lagi gol dapat dihasilkan sehingga tiupan wisel penamat.

Malaysia kini memungut tujuh mata dalam tiga penampilan peringkat kumpulan manakala Singapura di bawah kendalian Mohamad Nazri Nasir mengutip lima mata selepas beraksi kesemua perlawanan.

Malaysia selepas ini akan berdepan Kemboja pada aksi terakhir kumpulan juga di Nam Dinh pada Isnin.

Dua pasukan teratas mara ke saingan separuh akhir.