HASRAT skuad futsal lelaki kebangsaan untuk melakukan kejutan pada aksi sulung acara futsal di Sukan SEA ke-31 di Stadium Tertutup Ha Nam, Vietnam tidak kesampaian apabila tewas 6-2 kepada Thailand.

Skuad kendalian Chiew Chun Yong itu sememangnya bukan lawan kepada Thailand yang berada di ranking kesembilan dunia dan dilihat mudah melakukan serangan dan jaringan ke gawang negara.

Thailand melakukan serangan dari awal permainan dan berjaya mendahului 5-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan pada minit pertama, keenam, kelapan, ke-15 dan ke-19.

Kebanyakan gol Thailand berpunca dari kesilapan pemain negara yang kehilangan bola dan pasukan seperti Thailand tidak akan mensia-siakan peluang terhidang untuk menjaringkan gol.

Babak kedua menyaksikan permainan Malaysia lebih teratur sekaligus menyukarkan Thailand untuk menambah gol dengan pemain-pemain negara dilihat bersemangat untuk mencari gol pembukaan.

Akhirnya usaha mereka berhasil apabila Ekmal Shahrin berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-35 sebelum Khairul Effendy mendapatkan gol kedua satu minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 5-2.

Ketika Malaysia ghairah menyerang, Thailand dihadiahkan sepakan penalti dan mudah disempurnakan untuk gol keenam pada minit ke-38.

Kedudukan 6-2 kekal hingga tamat separuh masa pertama dan kini Malaysia perlu memenangi baki perlawanan untuk memastikan pemburuan pingat menjadi milik negara.