SKUAD Futsal Wanita Kebangsaan akan turun menentang Myanmar dalam perlawanan terakhir pada Khamis dalam acara futsal wanita di Stadium Tertutup Ha Nam dengan pemenang perlawanan ini akan memperolehi pingat gangsa.

Menerusi temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN, Ketua Jurulatih Futsal Wanita, Jamhuri Zainuddin berkata walaupun dia mempunyai masa yang singkat untuk mempersiapkan pasukan namun beliau tidak mahu menjadikannya sebagai alasan dan yakin dapat membawa pulang pingat gangsa.

“Kami hanya mempunyai 10 hari persiapan sebelum berlepas ke Vietnam tetapi kami tidak akan jadikannya sebagai alasan dan saya percaya para pemain mampu menyumbang pingat gangsa untuk negara.

“Saya juga berharap agar para peminat di tanah air mendoakan kejayaan kami memenangi gangsa sekaligus berjaya membuka mata pemerhati sukan kepada potensi sukan futsal wanita ini,”ujarnya.

Jamhuri juga nyata berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang berjaya mengurangkan defisit jaringan meskipun tewas kepada Thailand dan Vietnam yang terkenal sebagai jaguh Asia Tenggara.

“Para pemain sudah memberikan yang terbaik tetapi kita perlu menerima kenyataan bahawa pasukan lawan adalah pasukan yang lebih baik. Kerana itulah kami realistik meletakkan sasaran pingat gangsa kerana sedar dengan kekuatan lawan,” tambahnya.

Selepas tewas dalam dua perlawanan awal, skuad wanita negara mampu menebus kehampaan dan membawa pulang pingat sekiranya berjaya mencatat sebarang keputusan positif ke atas Myanmar.