SKUAD futsal Wanita Kebangsaan mensasarkan untuk menjadi tiga pasukan terbaik sekaligus membawa pulang sebutir pingat pada Temasya Sukan Sea ke-31 yang akan berlangsung di Ha Nam, Vietnam.
Menurut jurulatih skuad negara Jamhuri Zainuddin memberitahu dia juga yakin barisannya mampu untuk menjadi dua pasukan terbaik di Asia Tenggara sekiranya mereka beraksi dengan cemerlang.
“Sasaran awal adalah untuk berada dalam tiga pasukan terbaik tetapi sekiranya kami beraksi cemerlang tidak mustahil kita mampu menjadi dua pasukan terbaik sekaligus menukar warna pingat dari gangsa ke perak atau emas.
“Pasukan jiran dapat melakukan persiapan yang rapi dan lama berbanding kami. Kem Malaysia hanya berlatih selama 10 hari dan akan bermain dua perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan.
“Selepas itu nanti di Vietnam, kami akan bermain dua perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu kelab Vietnam dan untuk Sukan Sea kali ini saya masih menganggap Thailand dan Vietnam sebagai pasukan yang akan memberikan tentangan sengit.” ujar Jamhuri.
Walaupun mempunyai kekangan dari segi persiapan jika dibandingkan dengan pasukan tetangga, Jamhuri yang ditemui ketika perlawanan ujian skuad kebangsaan di Arena Futsal FAM akan lebih fokus kepada taktikal bertahan dan menyerang.
Selain itu, dia yakin dengan pemilihan Intan Sarah Anisah sebagai kapten pasukan kerana gadis itu mempunyai ciri-ciri kepimpinan di dalam gelanggang dan sentiasa bekerja keras.
Jurulatih berpengalaman ini juga berharap agar lebih banyak kejohanan tempatan diwujudkan bagi memastikan lebih ramai bakat-bakat baharu dapat dicungkil dan diketengahkan untuk mewakili negara.
Sebagai rekod, skuad futsal wanita pernah mendapat pingat gangsa ketika temasya Naypidaw 2013 dan mendapat tempat keempat di Temasya Kuala Lumpur 2017.