PENUH dramatik ! Skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) Malaysia bermula langkah kanan dengan bangkit mengejutkan Thailand 2-1 dalam saingan aksi sulung Kumpulan B Sukan SEA Hanoi di Stadium Thien Truong, Hanoi malam ini.
Walaupun dikritik hebat peminat di tanah air yang tidak yakin senarai dibawa ke Vietnam, anak buah Brad Maloney menterbalikkan keadaan dan menghadiahkan kemenangan penuh bermakna untuk bulan Syawal ini.
Peluang terbaik untuk kem negara memecah kebuntuan apabila satu hantaran baik kepada Luqman Hakim Shamsudin tetapi tolakan bolanya tersasar tinggi keluar m-24.
Thailand berjaya menggamatkan suasana stadium yang penuh sesak selepas tolakan bola yang agak perlahan oleh Patrik Gustavsson mudah menewaskan Azri Ghani m-33.
Gol itu berpunca kesilapan dua pertahanan negara yang memberikan ruang untuk Patrik melakukan jaringan.
Kad merah terpaksa dilayangkan kepada Jonathan Khemdee m-41 selepas melakukan kekasaran kepada pemain Malaysia yang mempunyai peluang untuk masuk ke gawang Thailand.
Bersambung babak kedua, Syahir Bashah melakukan percubaan ke gawang lawan tapi bola sedikit perlahan dan dapat dibaca Kawin Thamsatchanan.
Serangan demi serangan dilancarkan namun sayang sekali peluang di hadapan gawang gagal dimanfaatkan Ahmad Danial Asri m-55 yang tampak tidak bersedia untuk menahan bola hantaran lintang rakan sepasukan.
Gol penyamaan dicari-cari akhirnya dijelmakan bermula gerakan yang baik daripada sebelah kanan. Hantaran kapten negara, Mukhairi Ajmal memberikan Danial Asri ruang untuk melakukan jaringan penyamaan m-61.
Malaysia berpeluang menambah gol m-82, hantaran baik daripada Quentin Cheng tepat ke arah Hadi Fayyadh, namun tandukan padunya sedikit melepasi pintu gol Thailand.
Tindakan bijak Nur Azfar Fikri Azhar untuk melakukan tolakan ke gawang lawan membuahkan hasil. Dia berjaya memperdayakan Kawin Thamsatchanan untuk mendapatkan jaringan kemenangan lewat buat Malaysia.
Skuad B-23 negara selepas ini akan menghadapi Laos saingan kedua kumpulan pada Rabu.
Sementara itu, dalam aksi yang berlangsung sebelah petang, Singapura bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menamatkan permainan 2-2 ketika bertemu Laos.
Laos memperoleh gol awal m-14 oleh E. Ratxachak dan disusuli jaringan kedua C. Wenpaserth m-49 sebelum skuad Kota Singa itu menyamakan kedudukan menerusi Glenn Kweh m-89 dan Jordan Emaviwe m-96.