HARI ini genap dua minggu team Flash Sukan berada di bumi Hanoi untuk liputan menyeluruh Sukan SEA Vietnam 2021 dan selamat kembali pulang ke tanah air sebentar tadi.
Pertama, kami perlu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung untuk Kontinjen Malaysia yang bertanding edisi kali ini.
Sudah tentu kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertungkus lumus siang dan malam dalam menyediakan fasiliti dan kelengkapan kepada atlet dan bahan hebahan buat petugas media.
Tidak terkecuali pihak media Malaysia yang bertindak sebagai sokongan kepada kami semua dalam membuat hebahan terperinci sepanjang kejohanan berlangsung. Kata orang, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Semuanya teruja, bersemangat dan bertenaga bergerak menuju ke venue pertandingan demi menyediakan laporan atlet negara kita.
Ada yang berjaya mencatat rekod kebangsaan serta mengatasi rekod lama. Ada yang gagal. Inilah resam sukan. Ada kalah dan ada menang. Tahniah Flash Sukan ucapkan.
Terdahulu, satu sesi makan malam bersama media dan MOM yang dihadiri oleh Timbalan Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin bertempat di Hanoi Club Vietnam pada 10 Mei lepas diatur khas untuk memastikan hubungan antara rakan media dan pengelola dari Malaysia terjalin rapat.
Rata-rata rakan media berpuas hati termasuk bantuan daripada penyediaan info untuk memastikan rakyat di tanah air mendapat liputan lebih komprehensif, pantas dan hangat.
“Terima kasih juga kepada sukarelawan di Vietnam. Ada terbaik dan cukup memuaskan hati kami.
“Kami harus mendedikasikan kata-kata paling indah buat anda. Tidak segan jemu membantu apa jua persoalan, pertanyaan dari rakan media.
“Acara ini bagaikan tidak lengkap dan berjaya jika tanpa penglibatan semua pihak. Terima kasih sekali lagi atas segalanya,” kata wartawan berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri, Mohd Fariq di Hanoi.
Semoga kita bertemu lagi Sukan SEA di Kemboja yang dijadualkan berlangsung pada Mei 2023.