KETUA jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) Malaysia, Brad Maloney sedikit kesal para pemain melepaskan peluang meraih mata penuh semasa seri 2-2 menentang Singapura di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, pada Sabtu.

Bagaimanapun, Malaysia tetap layak ke separuh akhir temasya Sukan SEA 2021 apabila Thailand membelasah Kemboja 5-0 dalam satu lagi saingan peringkat kumpulan, malam ini.

Kini, fokusnya adalah kepada pertarungan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada Khamis.

“Kita gagal mengutip mata penuh pada perlawanan ini dan agak mengecewakan tetapi kesungguhan pemain yang berjaya bangkit daripada ketinggalan cukup memberangsangkan.

“Hanya ada satu lagi baki permainan kumpulan yang perlu dihadapi (bertemu Kemboja) dan selepas itu kita fikirkan aksi seterusnya,” katanya di Hanoi, Vietnam.

Ditanya sama ada bakal bertemu Indonesia ataupun tuan rumah, Vietnam di fasa empat terakhir Maloney enggan ambil pusing sebaliknya menyifatkan persediaan pasukan adalah satu persatu.

Malaysia kini mengutip tujuh mata selepas tiga perlawanan dan menunggu kempen pelengkap Kumpulan B menentang Kemboja yang telah tersingkir awal dari kejohanan.

Penampilan pemain negara khususnya daripada Luqman Hakim Shamsudin cukup memberikan impak di sebalik kemenangan skuad Harimau Malaya B-23 dalam dua perlawanan awal.

Penyerang muda KV Kortrijk itu muncul pemain terbanyak negara menyumbang gol dengan tiga jaringan termasuk ledakan satu gol semasa mencatat keputusan seri melawan skuad Seberang Tambak.