ATLET wushu negara, Tan Zhi Yan, menyumbang pingat emas kedua buat Malaysia menerusi acara Taijiquan lelaki di Gimnasium Cau Giay, Hanoi pada Jumaat.

Dia muncul juara dalam kategori itu selepas mengumpul 9.71 mata, mengatasi atlet Filipina, Jones Liabres yang memperoleh 9.70 mata.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat, Zhi Yan, 22 akui teruja kerana kemenangan diraihnya sebenarnya mengulangi pencapaian jurulatihnya Loh Choon How pada edisi terdahulu.

Pada Sukan Sea Manila 2019, Choon How berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam acara taijiquan dan taijijian

“Memang saya sangat terkejut kerana ini adalah Sukan SEA pertama saya. Saya agak gementar hari ini tetapi saya cuba sedaya upaya untuk mengawalnya.

“Jurulatih selalu memberi ingatan supaya sentiasa fokus dan melakukan rutin dengan baik.

“Secara keseluruhan, saya beraksi dengan baik dan cukup gembira dapat melakukannya tanpa sebarang masalah,” katanya berasal dari Batu Berendam, Melaka.

Atlet Singapura, Chan Jun Kai membawa pulang gangsa dengan 9.57 mata.