SKUAD futsal wanita negara, beraksi baik dan berjaya mengekang asakan Thailand sebelum tewas 0-4 dalam aksi pembukaan acara Futsal Wanita di Sukan Sea Vietnam.
Pernah dibelasah lawan yang sama 12-0 sebelum ini, Malaysia yang diketuai Intan Sarah Anisah berjaya menyerap tekanan dan bertahan dengan baik menahan percubaan berbahaya Thailand.
Malaysia yang datang ke Vietnam tanpa persiapan yang rapi ketinggalan 3-0 pada babak pertama sebelum beraksi dengan lebih baik pada babak kedua.
Tiga gol pantas dalam tempoh empat minit menghukum skuad negara yang sebelum itu beraksi cemerlang. Gol-gol Thailand dijaringkan oleh Mutita Senkram pada minit ke-14 sebelum Jenjira Bubpha seminit kemudiannya dan Darika Peanpailum melengkapkan gol ketiga pada minit ke-18.
Separuh masa kedua menyaksikan Malaysia beraksi lebih baik dengan kawalan bola yang lebih tersusun namun gagal menjaringkan gol sebelum Paerploy Huajaipetch melengkapkan gol keempat lapan minit sebelum tamat.
Malaysia akan menentang Vietnam selepas ini pada 17 Mei sebelum berhadapan Myanmar pada 19 Mei untuk menentukan warna pingat apa yang akan dibawa pulang.